Tuesday 1 September 2009

iNdAhnYA kEMaAfaN

Hari ini saya ingin berkongsi cerita tentang kuasa dan indahnya kemaafan. Ramai yang berfikir jika kita memaafkan seseorang bererti kita menerima dan setuju dengan perlakuan tidak adil yang orang lain lakukan terhadap diri kita. Ramai yang berfikir bahawa memaafkan bererti kita harus menghubungi kembali orang yang pernah menyakiti kita. Mereka juga berfikir bahawa memaafkan adalah sesuatu yang kita lakukan untuk orang lain. Benarkah begitu? Tidak!. Sama sekali tidak.

Memaafkan sebenarnya adalah tindakan yang kita lakukan untuk diri kita sendiri. Memaafkan sebenarnya adalah tindakan yang sangat “egois” yang hanya ditujukan demi keuntungan dan kepentingan diri kita sendiri.

Memaafkan bukan hanya ditujukan untuk orang lain namun kemaafan juga adalah untuk diri sendiri. Hanya orang kuat ,yang mampu memaafkan orang lain mahupun diri sendiri.Bak kata, Mahatma Gandhi , “The weak can never forgive. Forgiveness is the attribute of the strong.”

Jom kita lihat bagaimana pula kaitan “marah” dengan kemaafan.Sungguhya,ramai orang yang mengalami kesulitan untuk berjaya kerana memendam emosi marah dan dendam pada seseorang. Emosi negatif yang tetap “dipelihara” ini akan menjadi parasit kepada diri kita sendiri.
Ketika kita memaafkan seseorang pernah menyakiti itu dengan tulus dan ikhlas , apa yang terjadi ialah kita menyingkirkan vampire psychic energy (parasit), yang selama ini menyedut energi kita tanpa kita sedari, dan selepas memaafkan, energi dan vibrasi kita meningkat, dan kita dapat memanifestasikan kejayaan dengan sangat cepat dan mudah.

Kita sering marah, walaupun sebenarnya sesuatu keadaan atau perkara yang berlaku bukanlah benar-benar menyakitkan kita. Apa yang terjadi adalah kerana wujudnya persepsi yang yang telah ditafsirkan secara negatif.
Ketika kita memaafkan orang lain , energi negatif yang selama ini menghubungkan kita dengan orang itu akan terputus. Orang itu akan merasakan sesuatu yang positif dalam dirinya. Jangan terkejut jika , setelah anda memaafkan orang yang pernah menyakiti anda, tiba-tiba sikap orang itu pada anda berubah walaupun anda tidak memberitahu bahwa anda telah memaafkan dirinya.

Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya). {Surah al-Syuara’: ayat 43}

Antara marah, dendam dan maaf maka seafdalnya kemaafan itu menjadi pilihan utama. Namun, berdayakah seorang insan biasa yang punya hati dan perasaan untuk melupuskan perasaan tersebut seraya memberikan kemaafan kepada orang yang terbabit?

Perasaan amarah yang dipendam dan ditahan di dalam hati sudah pasti bukanlah suatu perkara yang menyenangkan. Dan, dendam bukanlah jalan terakhir untuk penyelesaian amarah tersebut. Islam mengharuskan kita mengambil tindakan yang adil terhadap mereka yang menyebabkan kita marah yakni (di atas kebenaran) yakni yang disebut ‘al-adl‘ namun Islam lebih menggalakkan tindakan yang lebih afdal, iaitu memberikan kemaafan. Justeru, inilah disebut ‘al-ihsan‘ iaitu berbuat baik atau bersikap baik. Bahkan, Islam juga menggalakkan umatnya saling bermaafan kerana kemaafan itu boleh menghilangkan rasa amarah dan dendam di dalam diri.

Akhirnya ,cuba tanya pada diri kita .Pernah tak kita rasa begitu sukar nak memberi kemaafan? Yang paling menyedihkan apabila kemaafan itu sekadar lahir di bibir sahaja. Hakikatnya, jauh di sudut hati, masih tersimpan seribu satu rasa yang mencengkam jiwa.

Dr Mohd Fadzilah Kamsah dalam bukunya Kuasa Hijrah Kuasa untuk Berubah ada menyenaraikan 6 perkara yang akan kita perolehi dengan memberikan kemaafan. Apa kata mulai hari ini, apabila kita berhadapan dengan situasi sukar memaafkan, cuba cakap 6 perkara tersebut pada diri kita, iaitu:

Saya akan memberi kemaafan kerana dapat mencucikan hati saya.
Saya akan memberi kemaafan supaya fikiran saya tenang.
Saya akan memberi kemaafan, semoga semua penyakit saya akan sembuh.
Saya akan memberi kemaafan, nanti mesti wajah saya nampak menawan dan ceria!!(^_^)
Moga moga dengan memberikan kemaafan doa saya akan dimakbulkan.
Semoga dengan memberikan kemaafan saya mendapat hidayah daripada Allah.

Jadi ,Sudahkah anda memberikan kemaafan hari ini?

Manusia tidak dapat lari dari membuat kesalahan di muka bumi ini , tetapi Insan yang memberi maaf itu lebih Tinggi darjatnya di sisi Allah Taala

Oleh itu, sebagai hamba Allah yang telah terlanjur melepaskan amarahnya dan kesilapan kepada kamu, saya ingin sejuta kemaafan. Entah esok atau lusa, mata saya terpejam tanpa memohon maaf kepada kamu yang tersinggung nescaya saya termasuk antara hamba-Nya yang rugi. Wassalam.


-from blog Ust Pahrol-

0 comments:

Post a Comment